Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 31 Disember. - Dari sudut memperkasa transformasi digital negara pula, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pelaksanaan projek identiti digital kebangsaan, iaitu Brunei-ID di bawah naungan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, bermula 3 Januari 2026.
Ini akan memudahkan lagi proses pengesahan identiti bagi mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian kerajaan, yang akan memperkukuhkan lagi tadbir urus digital dan menjadi pemangkin kepada pembangunan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan selamat, untuk kemudahan rakyat.
Perkara tersebut antara titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Perutusan bersempena Menyambut Tahun Baharu Masihi 2026.
Seiring dengan hasrat untuk memacu transformasi negara ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih dinamik, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos kepada Syarikat PosBru Sendirian Berhad bermula 1 Januari 2026. Langkah ini adalah khusus untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang awam.
“Melalui inisiatif pengkorporatan ini, beta berharap pihak kerajaan akan dapat melipatgandakan lagi usaha transformasi dalam sektor-sektor lain yang memerlukan perkhidmatan kerajaan yang lebih 'responsive'.
“Serta 'customer-centric' bagi memenuhi keperluan rakyat dan produktiviti sektor perniagaan di negara ini," titah baginda.
Marilah kita mensyukuri keadaan negara yang istimewa, warisan ugama dan budaya yang kukuh serta semangat perpaduan mempertahankan kedaulatan negara tercinta.
Demikian juga, pada kesempatan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), serta golongan belia, di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2025.
“Selamat Tahun Baharu Masihi 2026 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan," titah baginda mengakhiri Titah Perutusan bersempena Tahun Baharu Masihi 2026.